Desa tanah adat
Oleh Nor Shahfizan Hasim
nshahfizan@bharian.com.my
Air terjun, budaya serlah keunikan Laman Bakinang
Pertama kali menjejakkan kaki di homestay ini, hati terus terpaut dengan suasana perkampungan tropika dilengkapi kemudahan selesa hingga hati berat meninggalkan desa yang mengusik 1,001 kenangan ini.
Sabtu
PALUAN gendang menyambut kehadiran pelancong. |
11 pagi: Hujan renyai menyebabkan penulis ‘liat’ bersiap untuk memulakan perjalanan ke Homestay Laman Bakinang. Cukup santai dirasakan perjalanan kali ini.
Penulis memperlahankan kenderaan menyusuri Lebuh Raya Utara-Selatan menuju Seremban sebelum keluar di Tol Senawang. Selepas sejam setengah memandu, penulis tiba di laluan masuk homestay ini.
1 petang : Sebaik tiba, penulis melihat penduduk kampung sibuk membuat persiapan menyambut tetamu. Sambil menghirup minuman yang disediakan, fikiran jauh melayang memikirkan indahnya kehidupan desa yang jauh dari kesibukan kota.
2.30 petang : Ketika penulis leka membelek kamera, keriuhan penduduk yang sibuk membuat persiapan tiba-tiba terhenti apabila bas yang membawa pelancong tempatan, Thailand dan Indonesia tiba di perkarangan. Kelihatan remaja yang lengkap dengan pakaian tradisional Negeri Sembilan memukul gendang mengiringi ketibaan tetamu.
MUZIUM Warisan menyimpan koleksi barangan antik. |
Penduduk kampung mula menghidangkan santapan makan tengah hari. Hidangan nasi panas dengan aneka lauk dan ulam-ulaman menjadi menambat selera kami.
4.45 petang : Selepas berehat, kumpulan pelancong diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Penulis mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung termasuk berhampiran Homestay Laman Bakinang.
Penulis leka memerhatikan keindahan alam sehingga senja berlabuh.
6.45 petang : Sinar mentari mula melabuhkan tirai. Penulis membuat keputusan pulang ke rumah penginapan, badan juga mula terasa letih.
8.45 malam : Selepas membersihkan diri, penulis bergegas ke perkarangan homestay untuk melihat acara yang dianjurkan. Perarakan pengantin iaitu ‘mempelai’ dari kalangan pelancong asing yang dikenakan pakaian tradisional Melayu menggamatkan malam. Pukulan kompang dan bunga manggar serta percikan bunga api menambah keseronokan. Tarian Randai juga dipersembahkan selain diselang-selikan dengan acara menepung tawar.
11 malam : Mata makin mengantuk. Jika ikutkan hati, mahu saja merasai kemeriahan malam - namun tewas juga dek pujukan mata. Penulis pulang ke bilik penginapan.
Ahad
9 pagi : Selesai sarapan, penulis bersama dua Pegawai Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan, Wan Siti Zubaidah Yahya dan Izyan Shazana Mazlan mula merencana program lawatan di sekitar Homestay Laman Bakinang.
Agenda pertama, kami berkunjung ke Muzium Warisan yang menjanjikan kelainan. Antara barang antik yang dikumpul termasuk seterika, pedang, tempayan, pedang dan peralatan pertukangan kayu dipamerkan.
11.30 pagi : Aktiviti seterusnya, penulis menjenguk lokasi perkelahan keluarga di Air Terjun Jeram Tengkek. Penulis melihat ramai pengunjung menikmati kedinginan air sungai dan mandi-manda di pusat rekreasi ini.
Suasana menghijau begitu mendamaikan... Cukup sekadar mencecahkan kaki di permukaan air yang sejuk.
12.45 tengah hari : Dalam mencari keunikan yang ditawarkan di Homestay Laman Bakinang, penulis dijemput melawat projek tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan penduduk kampung.
Pengusaha projek ini, Roslinda Harun bangga hasil penat jerihnya sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil lumayan. Tanaman cendawan ini dipetik setiap hari dan dipasarkan di pekan Bahau.
1.30 tengah hari : Masa untuk mengisi perut yang mula berkeroncong. Penulis menuju ke Homestay Laman Bakinang untuk menikmati makan tengah hari.
3.30 petang : Detik paling menyeronokkan tiba. Acara sukan rakyat diadakan bagi memperkenalkan permainan tradisional Melayu kepada pelancong asing. Acara main klereng, perahu darat, gusti air, pukul bantal dan tapak gajah mendapat sambutan ramai. Keseronokan dan pelbagai aksi pelancong asing dapat dilihat sepanjang acara berlangsung.
6 petang : Masa untuk pulang... Terasa cepat perjalanan waktu di desa ini. Hati berjanji untuk kembali lagi di desa permai ini.
0 comments:
Post a Comment