Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

N Sembilan ke suku akhir.

Nasib 6 pasukan lain ditentu dalam perlawanan terakhir kumpulan Sabtu ini

JUARA bertahan, Negeri Sembilan mengesahkan tempat ke suku akhir, mengiringi Selangor yang mara minggu lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan KL Plus 2-1 di Stadium MBPJ, malam tadi.

Namun identiti enam lagi pasukan ke suku akhir hanya akan diketahui Sabtu ini dengan finalis musim lalu, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor FC dan Perlis mencerahkan peluang selepas meraih kemenangan semalam.

Kelantan yang beraksi bersama Negeri Sembilan dalam Kumpulan A, turut mencerahkan peluangnya selepas menyentap harapan pesaing, PKNS apabila menewaskan pasukan Liga Perdana itu 4-0 menerusi jaringan Mohd Farisham Ismail pada minit ke-28, Akmal Rizal Rakhli (m-55), Mohd Badhri Md Radzi (m-78) dan penalti kapten, Indra Putra Mahayuddin (m-85) dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamad IV.

Di Stadium Cheras, Pahang merampas kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B apabila menundukkan Kuala Lumpur 1-0 menerusi jaringan Faizul Hussain pada minit ke-53 untuk menjadikan persaingan tiga penjuru perebutan dua tiket suku akhir bersama-sama Sabah dan Terengganu.

Terengganu turut mencerahkan peluang apabila menewaskan Sabah 3-0 dengan jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-34 dan 46 sebelum Wan Mohd Alif Wan Najmi memastikan gol ketiga (m68).

Dalam saingan Kumpulan C, Johor FC meraih tiga mata berharga dengan menundukkan Tentera 2-1 di Stadium JCorp, Pasir Gudang menerusi gol Amir Omar Khata (m-25) dan tandukan Mohd Izuan Jarudin (m-68) sebelum pelawat merapatkan jurang pada minit ke-72 menerusi tandukan V Saravanan.
Perak turut mencerahkan peluang mara dari kumpulan itu selepas jaringan tunggal Razali Umar Kandasamy pada minit ke-72 memastikan kemenangan ke atas Kedah 1-0 di Stadium Perak.

Perlis turut menyalakan api perjuangan selepas menundukkan T-Team 4-1 di Stadium Utara Kangar menerusi gol Mohd Faiz Sobri pada minit kelapan, disusuli rembatan Wan Khairul Faiz (m-12) dan sepakan penalti Azrul Ahmad (m-30).

Rosdi Talib merapatkan jaringan untuk T-Team (m-50) tetapi Perlis mengukuhkan kedudukan menerusi gol keempat Mohd Syazwan Zainol, enam minit kemudian.

Selangor mengekalkan rekod sempurna di gelanggang sendiri musim ini apabila membelasah Felda United 4-1 untuk menambah derita juara Liga Perdana itu yang terus gagal mengutip sebarang mata. B_Harian

Final FA Cup 2010

Kedah-N.Sembilan di Final Piala FA

Pertembungan NS-Kedah di final
Oleh Mohd Amin Jalil dan Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my
2010/04/04



SAFEE Sali (kiri) memerhatikan gol sendiri Mohd Aliff Samsudin   membolehkan Selangor menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan, di Paroi, malam  tadi.

Anak didik Wan Jamak tewas di Paroi tetapi layak kerana gol tempat lawan

NEGERI Sembilan dan Kedah menempah pertemuan final saingan Piala FA 1 Mei depan apabila masing-masing muncul pemenang di akhir saingan separuh akhir kedua, malam tadi.

Sekalipun juara bertahan Selangor mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dan kedudukan agregat terikat 2-2, ia tidak cukup untuk menghalang Negeri Sembilan yang layak berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Di Stadium Darulaman pula, Kedah meneruskan rentak kemenangan ke atas Terengganu apabila menewaskan skuad Pantai Timur itu 2-1, untuk menjadikan agregat 4-1, dan menjadi pertemuan final pertama buat kedua-dua pasukan ini sejak kejohanan diperkenalkan pada 1990.

Tewas 2-1 di tempat sendiri Selasa lalu, Selangor memerlukan dua gol untuk mara namun hanya satu jaringan yang mampu dijelmakan pada minit ke-54 apabila Mohd Aliff Samsudin tertanduk ke gawang sendiri sepakan percuma Hardi Jaafar tapi cukup buat skuad Rusa ke final buat kali kedua sejak 2003.


Tanpa tiga pemain utama, kapten, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang diketepikan akibat kad kuning manakala penjaga gol utama, Mohd Farizal Harun cedera, jurulatih Wan Jamak Hassan meletakkan kepercayaannya kepada pemain muda.

Pengendali Selangor, K Devan pula menurunkan Mohd Iqbal Suhaimi untuk menggantikan Mohd Fairul Azwan untuk menggalas tanggungjawab penjaga gawang dalam perlawanan genting yang menyaksikan Razman Roslan dibuang padang pada penghujung perlawanan.

Kedah pula yang mendahului selesa 2-0 selepas kemenangan di Kuala Terengganu melebarkan jurang pada minit kelima apabila Khairul Helmi Johari menanduk sepakan sudut seawal minit kelima.

Memerlukan tiga gol untuk mara, impian itu semakin jauh daripada realiti apabila Mohd Shafiq Jamal melebarkan jurang apabila menolak masuk umpanan Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee.

Jaringan tunggal Wan Mohd Aliff pada minit ke-42 sekadar menjadi sagu hati buat Terengganu untuk pulang hampa dalam misi ke final buat kali keempat.