Selamat Menghadapi Peperiksaan


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

ingatan tulus ikhlas

.:: PERMANIS UM ::.
Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan Universiti Malaya

Ucapan Penutup AGM YDP 09/10



Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kepada Allah SWT, dengan segala nikmat serta rahmat yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya, pada hari ini dapat kita laksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembian Universiti Malaya kali ke-38. Mudah-mudahan segala gerak kerja yang telah dijalankan sepanjang tahun bagi sesi 2009/2010 ini mendapat ganjaran daripada Allah SWT.


Ahli keluarga PERMANIS UM yang saya dikasihi,

Ranjau perjalanan setahun telah dilalui bersama, segala cabaran serta dugaan telah kita harungi bersama, segala baik dan buruk adalah perancangan kita bersama, sebaik-baik perancangan itu adalah kehendak Yang Maha Esa. Alhamdulillah, dengan keizinan Allah SWT, walaupun tidak semua perancangan yang dibuat sebelum ini dapat kita laksanakan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tetapi hampir kesemua perancangan yang telah dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan dengan baik. Bermula dari Bengkel Induksi PERMANIS (BESI’09), Minggu Promo Persatuan (PROMO’09), Hari Interaksi Permanis (HATI’09), Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim (IFTAR’09), Intellectual and Personality of Inspirational Student Motivation (IN-PRISM’10), Karnival Sukan Mahasiswa Negeri Sembilan (SUKNES@U), Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM’10), dan Majlis Apresiasi dan Makan Malam PERMANIS UM pada hari ini.


Kesemua aktiviti-aktiviti ini adalah hasil kerjasama kita sebagai ahli keluarga PERMANIS UM yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga baik dari peringkat perancangan hinggalah ke peringkat pelaksanaan. Sikap seperti inilah yang kita inginkan daripada mahasiswa serta mahasiswi sekalian yang bersedia untuk menyumbang khidmat dalam membantu untuk menjayakan sesuatu program. Jiwa-jiwa besar keluarga PERMANIS UM yang tidak mengenal erti putus asa dalam menggerakkan program, saling bantu membantu serta memberikan komitmen yang tinggi dan bijak menguruskan masa adalah kunci kepada kejayaan program-program yang dilaksanakan.


Keluarga besar PERMANIS UM yang dikasihi,

PERMANIS UM merupakan suatu platform untuk anak-anak Negeri Sembilan bergiat aktif di dalam persatuan berdaftar di kampus perdana ini. Mahasiswa yang cemerlang adalah mahasiswa yang seimbang di antara akademik dan ko-kurikulum. Memang tidak dinafikan, bukanlah suatu perkara yang mudah bagi kita untuk mengawal kedua-duanya dengan baik, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi kita untuk berjaya di dalam kedua-dua bidang ini. Apa yang penting bagi kita sebagai mahasiswa adalah menjadi insan yang berjiwa besar supaya segala tindakan yang kita lakukan akan kita laksanakan dengan penuh keazaman dan kesungguhan.


Dalam keghairahan untuk mengejar kejayaan di dalam kedua-dua bidang ini, perkara yang paling penting untuk diberi penekanan adalah akhlak kita sebagai seorang muslim. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya di dalam agama. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu itu untuk menzahirkannya. Ini adalah kerana mengucapkan perkataan yang baik adalah hasil daripada akhlak yang terpuji. Justeru, di dalam konteks berpersatuan ini, kadangkala sifat kelembutan hati seseorang itu adalah berbeza. Oleh yang demikian, kita seharusnya sebagai ahli keluarga PERMANIS UM menjaga akhlak dan tutur kata supaya tindakan dan percakapan kita tidak merenggangkan hubungan di antara kita dengan ahli keluarga PERMANIS UM yang lain.


Sahabat-sahabat PERMANIS UM yang dikasihi,

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana memiliki kelebihan dari segi bantuan kewangan yang diberikan oleh pihak Yayasan Negeri Sembilan. Semua program yang dijalankan oleh PERMANIS UM adalah bantuan 100 peratus daripada pihak yayasan. Berbanding dengan persatuan-persatuan anak negeri yang lain, sebahagian daripada mereka perlu berusaha sendiri untuk mencari dana sebelum memulakan sesuatu projek. Sekiranya kelebihan ini kita tidak manfaatkan bersama untuk berbakti sekurang-kurangnya kepada diri , agama dan masyarakat, maka ia merupakan suatu kerugian kerana kita sebagai mahasiswa adalah agen kepada perubahan masyarakat.


Di sini saya ini mengingatkan mengenai beberapa perkara. Kejayaan dalam melaksanakan sesuatu program bukanlah hak milik seseorang individu. Kita bekerja di dalam satu pasukan, di dalam satu jemaah, maka janganlah kita menanamkan sikap yang mementingkan diri sendiri untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab yang diberikan kepada kita. Tanggungjawab yang diberikan itu adalah amanah daripada Allah SWT. Sekiranya kita melepaskan diri daripada tanggungjawab yang diberikan, maka bermaksud kita mengabaikan amanah Allah SWT. Justeru sahabat-sahabat PERMANIS UM yang dikasihi, bagi meringankan tanggungjawab yang dipikul itu, ikhlaskan hati kita untuk melaksanakannya, berkongsilah dengan ahli-ahli PERMANIS UM yang lain sekiranya terdapat masalah kerana tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. InsyaAllah dengan keikhlasan hati itu segala permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.


Adik-adik PERMANIS UM yang dikasihi,

Kalian adalah penerus generasi PERMANIS UM, tanamkan di dalam jiwa kalian dengan semangat yang pernah ada pada tokoh-tokoh terdahulu. Belajar dan terus belajar erti sebenar sebuah epilog perjuangan dan ranjau mahasiswa yang berjaya merubah diri, keluarga dan masyarakat. Jangan biarkan diri kalian dibuai hedonism mainan jiwa, isikan diri kalian dengan sisipan akar teguh kerohanian. Jagalah hati kalian daripada godaan dunia dan syaitan. Jangan jatuhkan hati kalian ke lembah maksiat dan penghinaan, kerana ia merupakan punca kepada keruntuhan darjat manusia di sisi Tuhan. Kembalilah kepada-Nya semula andai telah tersilap langkah. Jadikanlah PERMANIS UM ini sebagai wadah untuk berubah. Kalian mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang. Rancanglah bersama ahli keluarga PERMANIS UM yang lain untuk mengadakan program yang mendidik jiwa yang menuju ke arah keredhaan Allah SWT.

Akhir kalam buat semua ahli keluarga PERMANIS UM,

Saya memohon maaf sekiranya di sepanjang perkhidmatan saya sebagai Yang DiPertua PERMANIS UM sesi 2009/2010 ini ada melakukan kesilapan, terlanjur kata dan terkasar bahasa. Sebagai seorang hamba yang lemah, saya bukanlah seorang yang maksum daripada melakukan kesilapan. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua ahli keluarga PERMANIS UM di atas pembatalan program-program yang telah dirancang dan dimaklumkan pada awalnya, tetapi tidak dapat dilaksanakan di atas sebab-sebab tertentu. Janganlah kalian menyalahkan ahli jawatankuasa ad-hoc yang telah dilantik untuk menggerakkan program-program tersebut kerana mereka sendiri telah berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya tetapi seperti yang telah saya sebut sebelum ini, kehendak Allah itulah yang hakiki.


Buat ahli majlis tertinggi, exco-exco, pengarah dan ahli jawatankuasa yang telah memberikan perkhidmatan kalian kepada PERMANIS UM sepanjang sesi 2009/2010 ini, terima kasih saya ucapkan di atas jasa dan pengorbanan kalian. Mudah-mudahan usaha yang ditaburkan sebelum ini mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Saya bagi pihak persatuan tidak mampu untuk membayar kerja-kerja kalian dengan material yang hanya bersifat keduniaan, biarlah Allah yang menilai usaha-usaha kalian dan memberi ganjaran yang tidak dapat dimiliki daripada manusia.


Untuk renungan kita bersama, saya ingin memetik wasiat daripada Saidina Ali yang bermaksud :


Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu', tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia, tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya, tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak iaitu memelihara diri dan hati- hati dari berbuat dosa, tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi. Maka, nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.


Akhir kalam dari saya, wabillahittaufiq wal hidayah, Assalamualaikum wbt.


Mohd Zaid Bin Mustafar

YDP Persatuan Mahasiswa N. Sembilan

Sesi 2009/2010

TAHNIAH !!! PERMANIS 10/11

TAHNIAH DIUCAPKAN
KEPADA
KEPIMPINAN PERMANIS SESI 10/11

Yang Dipertua
Mohd Sabri Bin Jamaluddin

Naib Yang Dipertua
Nurul Farihah Binti Hamzah

Setiausaha
Siti Nur Aimi Binti Muhammad

Bendahari
Muhd Zulramzie Bin Ramli

Majlis Apresiasi & AGM PERMANIS 09/10


2 generasi
sekalung penghargaan dan terima kasih kepada PERMANIS 09/10,
tahniah dan selamat datang kepada PERMANIS 10/11

Pada 8 April 2010 yang lepas, Alhamdulillah... PERMANIS telah menganjurkan Majlis Apresiasi PERMANIS 09/10 bertempat di Rumah Universiti UM. Majlis yang bermula pada jam 8.20 malam tersebut turut dihadiri oleh Prof Dr Mohd Faisal Bin Hj Ali, merangkap penasihat PERMANIS. Majlis yang dihadiri oleh 80 orang warga PERMANIS diadakan khas bagi meraikan dan juga sebagai tanda penghargaan kepada semua ahli2 PERMANIS yang telah bertungkus lumus menjayakan pelbagai program2 PERMANIS sepanjang sesi 09/10.




Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu UM dan alunan nasyid Asmaul Husna, diikuti dengan ucapan daripada Pengarah, iaitu Rabiatul Adawiah (K.Awi), dan seterusnya ucapan daripada Prof. Faisal yang di dalam ucapannya banyak memberikan kata-kata semangat kepada PERMANIS. Turut menyerikan majlis ialah persembahan multimedia, tayangan gambar2 sepanjang program2 PERMANIS.



Seterusnya, sejurus selepas Majlis Apresiasi, berlangsungnya agenda utama pada malam tersebut iaitu, Mesuarat Agung Tahunan PERMANIS 09/10 (AGM) yang bermula paa jam 10 malam dan tamat pada jam 11.30, yang bertempat di Bilik Wawasan, Rumah Universiti. AGM dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengerusi majlis dan diteruskan dengan pembentangan laporan program daripada setiausaha dan pembentangan laporan belanjawan daripada timbalan bendahari. Diakhirnya, seperti biasa, merupakan ucapan penutup PERMANIS 09/10 daripada Saudara YDP - Mohd Zaid.




Seterusnya ialah sesi perletakan jawatan organisasi PERMANIS 09/10, yang mana menyaksikan majlis perlantikan PERMANIS 10/11 sebagai agenda terakhir pada malam tersebut. Ucapan tahniah dan terima kasih buat pimpinan yang lepas, dan yang akan datang, moga2 PERMANIS akan terus sukses dalam usaha untuk melahirkan mahasiswa yang sentiasa bergiat aktif dalam program2 yang mampu memberikan manfaat kepada semua masyarakat.


PERMANIS sesi 10/11

SHAP: Balai Islam Astar


SEMUA DIJEMPUT HADIR

Sabda Baginda SAW: "Apabila kamu melewati taman syurga, hendak kamu ikut sama menikmatinya. Sahabat bertanya: Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah? Ujar Baginda SAW: Ialah perhimpunan zikir (majlis ilmu)." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Final FA Cup 2010

Istimewanya Dhuha


Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi,
niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah
mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Kedah-N.Sembilan di Final Piala FA

Pertembungan NS-Kedah di final
Oleh Mohd Amin Jalil dan Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my
2010/04/04



SAFEE Sali (kiri) memerhatikan gol sendiri Mohd Aliff Samsudin   membolehkan Selangor menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan, di Paroi, malam  tadi.

Anak didik Wan Jamak tewas di Paroi tetapi layak kerana gol tempat lawan

NEGERI Sembilan dan Kedah menempah pertemuan final saingan Piala FA 1 Mei depan apabila masing-masing muncul pemenang di akhir saingan separuh akhir kedua, malam tadi.

Sekalipun juara bertahan Selangor mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dan kedudukan agregat terikat 2-2, ia tidak cukup untuk menghalang Negeri Sembilan yang layak berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Di Stadium Darulaman pula, Kedah meneruskan rentak kemenangan ke atas Terengganu apabila menewaskan skuad Pantai Timur itu 2-1, untuk menjadikan agregat 4-1, dan menjadi pertemuan final pertama buat kedua-dua pasukan ini sejak kejohanan diperkenalkan pada 1990.

Tewas 2-1 di tempat sendiri Selasa lalu, Selangor memerlukan dua gol untuk mara namun hanya satu jaringan yang mampu dijelmakan pada minit ke-54 apabila Mohd Aliff Samsudin tertanduk ke gawang sendiri sepakan percuma Hardi Jaafar tapi cukup buat skuad Rusa ke final buat kali kedua sejak 2003.


Tanpa tiga pemain utama, kapten, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang diketepikan akibat kad kuning manakala penjaga gol utama, Mohd Farizal Harun cedera, jurulatih Wan Jamak Hassan meletakkan kepercayaannya kepada pemain muda.

Pengendali Selangor, K Devan pula menurunkan Mohd Iqbal Suhaimi untuk menggantikan Mohd Fairul Azwan untuk menggalas tanggungjawab penjaga gawang dalam perlawanan genting yang menyaksikan Razman Roslan dibuang padang pada penghujung perlawanan.

Kedah pula yang mendahului selesa 2-0 selepas kemenangan di Kuala Terengganu melebarkan jurang pada minit kelima apabila Khairul Helmi Johari menanduk sepakan sudut seawal minit kelima.

Memerlukan tiga gol untuk mara, impian itu semakin jauh daripada realiti apabila Mohd Shafiq Jamal melebarkan jurang apabila menolak masuk umpanan Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee.

Jaringan tunggal Wan Mohd Aliff pada minit ke-42 sekadar menjadi sagu hati buat Terengganu untuk pulang hampa dalam misi ke final buat kali keempat.

Akan Datang: AGM


MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM)
& MAJLIS APRESIASI PERMANIS 09/10

Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan Universiti Malaya
.:: PERMANIS Tetap Di Hati ::.


Tarikh: 8 April 2010
Masa: 6.oo petang
Tempat: Rumah Universiti, Universiti Malaya

Muslim Cemerlang

Oleh: Amiruddin Husain - Bangi


Dalam menerobosi arus kehidupan kala ini, sukar sekali untuk kita menjadi individu muslim yang cemerlang. cemerlang seperti mana umat-umat islam terdahulu. dari sudut apakah mereka cemerlang? sudah tentu cemerlang dalam segala aspek. ya, tapi bagaimana kita ingin cemerlang seperti mereka? pasti ada ciri-cirinya...



Cemerlang AKIDAH dan IBADAH



Muslim yang cemerlang, akidahnya bukan sekadar yakin dan percaya di mulut, bahkan diperlihatkan pada amalannya dan terkesan di hatinya. setiap tingkah dan gerak lakunya tidak sekali pun dipisahkan daripada agama. islam menjadi nombor 1 dalam setiap keadaan. semasa sendiriannya dan semasa di khalayak ramai. Sentiasa menjadi pegangannya akan firman Allah yang mafhumnya...

dan tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada Ku. (adz-zariyat:56)

bagi individu muslim yang cemerlang itu juga, ibadahnya tidak cukup sekadar amalan fardhu seharian, bahkan ditambah dan berlumba-lumba dikejarnya amalan-amalan sunat yang termampu bagi dirinya.

dikejarnya akhirat bagaikan nafasnya di dunia ini sesaat sahaja lagi, diusahakan kerja-kerja di dunia bagaikan hidupnya 1000 tahun lagi.


Cemerlang FIZIKAL dan JASMANI


Individu muslim yang cemerlang, tidak boleh tidak, mesti cemerlang fizikal dan jasmaninya juga. kerana menjadi pegangannya..

"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah.."

[Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :" Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :" Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. " Riwayat Muslim]

Bagaimana hendak dikerjakan amalan-amalan seharian pagi dan malam sekiranya fizikalnya tidak tahan? bagaimana hendak diperjuangkan agamanya jika jasmaninya tidak kuat? maka kekuatan fizikal dan jasmani itu menjadi kefardhuan bagi individu muslim yang cemerlang.


Cemerlang AKAL dan EMOSI


tidak cukup dengan itu, individu muslim yang cemerlang juga cemerlang akal dan emosi. saling berkait dengan kecemerlangan fizikal dan jasmaninya..

العقل السليم في الجسم السليم


minda yang cerdas daripada fizikal yang cergas.

justeru, individu muslim cemerlang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan. cemerlang akal menjadikan individu muslim itu bukan seorang yang jumut, ketinggalan zaman, dan membebaskan dirinya daripada belenggu kejahilan. kejahilanlah yang membuatkan seseorang itu terjerumus ke lembah maksiat, dosa, dan rendah harga diri.
cemerlang emosi individu muslim itu, maka bukan emosi yang menguasai diri, bahkan dirinya lah yang mengawal emosinya.

kecerdasan fikiran dan keteguhan emosi sangat penting bagi seseorang individu muslim, bukan sahaja untuk menyuburkan izzah dalam dirinya , bahkan dalam usaha untuk mentarbiyah insan-insan di sekelilingnya.. bagi menerobosi arus kehidupan kala ini.


Bagaimana hendak mencorak politik setempat? hendak mencorak ekonomi semasa? hendak mencorak khilafah dunia? coraklah diri.. jadilah modal insan, individu muslim cemerlang!

Menjelang Minggu Peperiksaan: Petua Cemerlang

Apa kata kita renungkan kembali tips kejayaan yang telah Allah titipkan di permulaan surah al-Mu'minun, surah yang ke 23 di dalam lembaran al-Quran:

1. Keyakinan, kepercayaan and having faith in Allah, His Mercy and His Help
“Sesungguhnya BERJAYALAH orang-orang yang beriman.” [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan attitude seterusnya yang bakal disebutkan dibawah.

2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
“iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [23:2] Do one thing at a time. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Be passionate in it, Bukan sambil lewa.

3. Prioritise
“dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna).” [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh pressure, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, movies, korean series, games, friendster dll sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti menyediakan makanan a.k.a memasak (supaya tak makan maggie je selama 2minggu), membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum. However, the best thing to do during your break is to take wudhu’, solat hajat or recite Quran so that we will be closer to Allah, therefore our hearts will be at peace and calm state no matter how hard is the exam.

Plus, do avoid complaining, whining, mengumpat lecturer dan seumpamanya kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah, nauzubillah.

4. Care about each other
“dan orang-orang yang menunaikan zakat.” [23:4] Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, be it knowledge, past year papers, or even just food. Sharing is caring.

5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
“dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan study berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tension je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda. Padahal Allah kan sentiasa ada, sentiasa melindungi, sentiasa menolong…jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

6. Jujur, amanah
” dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.” [23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak sponsor dan dengan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh dan score well in our exam? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dgn Allah untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu,pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana insya-Allah.

Please, no cheating in term of time, especially dalam dewan peperiksaan. Stop writing immediately when you are told to so. Instead, its time to say “Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil ‘azim.”

7. Punctual, particular
“dan orang-orang yang memelihara solatnya.” [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks muslim student’s life ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan, and to maintain keeping up with our effort continously, a.k.a istiqamah.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk academic semata-mata. Highlight utama dalam ayat tersebut supaya kita sangat menjaga hubungan kita dengan Allah kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

” Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya.” [23:10,11]

” ….Maka di antara manusia ada yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.’ Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat.” [2:200]

“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” [2:201]

“Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya.” [2:202]

Sepatutnya kita bersyukur kerana diberi nikmat dan peluang oleh Allah untuk menuntut ilmu dalam keadaan yang jauh lebih selesa. Tapi masih ramai antara kita yang masih malas untuk belajar, ponteng kelas dan berfoya-foya. Bangkitlah wahai sahabat-sahabatku!! Buka mata hati, buka minda kita. Lihat bagaimana perjuangan saudara-saudara kita di Palestin dalam menuntut ilmu.

Renungilah maksud firman Allah:

" Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui." (Surah Al-Mujadalah :11)


Hayati juga maksud hadis Nabi S.A.W.:

" Sesiapa yang keluar menuntut ilmu, maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali." (Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)