Pertembungan NS-Kedah di final
Oleh Mohd Amin Jalil dan Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my
2010/04/04
NEGERI Sembilan dan Kedah menempah pertemuan final saingan Piala FA 1 Mei depan apabila masing-masing muncul pemenang di akhir saingan separuh akhir kedua, malam tadi.
Sekalipun juara bertahan Selangor mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dan kedudukan agregat terikat 2-2, ia tidak cukup untuk menghalang Negeri Sembilan yang layak berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Di Stadium Darulaman pula, Kedah meneruskan rentak kemenangan ke atas Terengganu apabila menewaskan skuad Pantai Timur itu 2-1, untuk menjadikan agregat 4-1, dan menjadi pertemuan final pertama buat kedua-dua pasukan ini sejak kejohanan diperkenalkan pada 1990.
Tewas 2-1 di tempat sendiri Selasa lalu, Selangor memerlukan dua gol untuk mara namun hanya satu jaringan yang mampu dijelmakan pada minit ke-54 apabila Mohd Aliff Samsudin tertanduk ke gawang sendiri sepakan percuma Hardi Jaafar tapi cukup buat skuad Rusa ke final buat kali kedua sejak 2003.
Tanpa tiga pemain utama, kapten, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang diketepikan akibat kad kuning manakala penjaga gol utama, Mohd Farizal Harun cedera, jurulatih Wan Jamak Hassan meletakkan kepercayaannya kepada pemain muda.
Pengendali Selangor, K Devan pula menurunkan Mohd Iqbal Suhaimi untuk menggantikan Mohd Fairul Azwan untuk menggalas tanggungjawab penjaga gawang dalam perlawanan genting yang menyaksikan Razman Roslan dibuang padang pada penghujung perlawanan.
Kedah pula yang mendahului selesa 2-0 selepas kemenangan di Kuala Terengganu melebarkan jurang pada minit kelima apabila Khairul Helmi Johari menanduk sepakan sudut seawal minit kelima.
Memerlukan tiga gol untuk mara, impian itu semakin jauh daripada realiti apabila Mohd Shafiq Jamal melebarkan jurang apabila menolak masuk umpanan Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee.
Jaringan tunggal Wan Mohd Aliff pada minit ke-42 sekadar menjadi sagu hati buat Terengganu untuk pulang hampa dalam misi ke final buat kali keempat.
0 comments:
Post a Comment