Ucapan Penutup AGM YDP 09/10



Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kepada Allah SWT, dengan segala nikmat serta rahmat yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya, pada hari ini dapat kita laksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembian Universiti Malaya kali ke-38. Mudah-mudahan segala gerak kerja yang telah dijalankan sepanjang tahun bagi sesi 2009/2010 ini mendapat ganjaran daripada Allah SWT.


Ahli keluarga PERMANIS UM yang saya dikasihi,

Ranjau perjalanan setahun telah dilalui bersama, segala cabaran serta dugaan telah kita harungi bersama, segala baik dan buruk adalah perancangan kita bersama, sebaik-baik perancangan itu adalah kehendak Yang Maha Esa. Alhamdulillah, dengan keizinan Allah SWT, walaupun tidak semua perancangan yang dibuat sebelum ini dapat kita laksanakan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tetapi hampir kesemua perancangan yang telah dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan dengan baik. Bermula dari Bengkel Induksi PERMANIS (BESI’09), Minggu Promo Persatuan (PROMO’09), Hari Interaksi Permanis (HATI’09), Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim (IFTAR’09), Intellectual and Personality of Inspirational Student Motivation (IN-PRISM’10), Karnival Sukan Mahasiswa Negeri Sembilan (SUKNES@U), Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM’10), dan Majlis Apresiasi dan Makan Malam PERMANIS UM pada hari ini.


Kesemua aktiviti-aktiviti ini adalah hasil kerjasama kita sebagai ahli keluarga PERMANIS UM yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga baik dari peringkat perancangan hinggalah ke peringkat pelaksanaan. Sikap seperti inilah yang kita inginkan daripada mahasiswa serta mahasiswi sekalian yang bersedia untuk menyumbang khidmat dalam membantu untuk menjayakan sesuatu program. Jiwa-jiwa besar keluarga PERMANIS UM yang tidak mengenal erti putus asa dalam menggerakkan program, saling bantu membantu serta memberikan komitmen yang tinggi dan bijak menguruskan masa adalah kunci kepada kejayaan program-program yang dilaksanakan.


Keluarga besar PERMANIS UM yang dikasihi,

PERMANIS UM merupakan suatu platform untuk anak-anak Negeri Sembilan bergiat aktif di dalam persatuan berdaftar di kampus perdana ini. Mahasiswa yang cemerlang adalah mahasiswa yang seimbang di antara akademik dan ko-kurikulum. Memang tidak dinafikan, bukanlah suatu perkara yang mudah bagi kita untuk mengawal kedua-duanya dengan baik, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi kita untuk berjaya di dalam kedua-dua bidang ini. Apa yang penting bagi kita sebagai mahasiswa adalah menjadi insan yang berjiwa besar supaya segala tindakan yang kita lakukan akan kita laksanakan dengan penuh keazaman dan kesungguhan.


Dalam keghairahan untuk mengejar kejayaan di dalam kedua-dua bidang ini, perkara yang paling penting untuk diberi penekanan adalah akhlak kita sebagai seorang muslim. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya di dalam agama. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu itu untuk menzahirkannya. Ini adalah kerana mengucapkan perkataan yang baik adalah hasil daripada akhlak yang terpuji. Justeru, di dalam konteks berpersatuan ini, kadangkala sifat kelembutan hati seseorang itu adalah berbeza. Oleh yang demikian, kita seharusnya sebagai ahli keluarga PERMANIS UM menjaga akhlak dan tutur kata supaya tindakan dan percakapan kita tidak merenggangkan hubungan di antara kita dengan ahli keluarga PERMANIS UM yang lain.


Sahabat-sahabat PERMANIS UM yang dikasihi,

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana memiliki kelebihan dari segi bantuan kewangan yang diberikan oleh pihak Yayasan Negeri Sembilan. Semua program yang dijalankan oleh PERMANIS UM adalah bantuan 100 peratus daripada pihak yayasan. Berbanding dengan persatuan-persatuan anak negeri yang lain, sebahagian daripada mereka perlu berusaha sendiri untuk mencari dana sebelum memulakan sesuatu projek. Sekiranya kelebihan ini kita tidak manfaatkan bersama untuk berbakti sekurang-kurangnya kepada diri , agama dan masyarakat, maka ia merupakan suatu kerugian kerana kita sebagai mahasiswa adalah agen kepada perubahan masyarakat.


Di sini saya ini mengingatkan mengenai beberapa perkara. Kejayaan dalam melaksanakan sesuatu program bukanlah hak milik seseorang individu. Kita bekerja di dalam satu pasukan, di dalam satu jemaah, maka janganlah kita menanamkan sikap yang mementingkan diri sendiri untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab yang diberikan kepada kita. Tanggungjawab yang diberikan itu adalah amanah daripada Allah SWT. Sekiranya kita melepaskan diri daripada tanggungjawab yang diberikan, maka bermaksud kita mengabaikan amanah Allah SWT. Justeru sahabat-sahabat PERMANIS UM yang dikasihi, bagi meringankan tanggungjawab yang dipikul itu, ikhlaskan hati kita untuk melaksanakannya, berkongsilah dengan ahli-ahli PERMANIS UM yang lain sekiranya terdapat masalah kerana tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. InsyaAllah dengan keikhlasan hati itu segala permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.


Adik-adik PERMANIS UM yang dikasihi,

Kalian adalah penerus generasi PERMANIS UM, tanamkan di dalam jiwa kalian dengan semangat yang pernah ada pada tokoh-tokoh terdahulu. Belajar dan terus belajar erti sebenar sebuah epilog perjuangan dan ranjau mahasiswa yang berjaya merubah diri, keluarga dan masyarakat. Jangan biarkan diri kalian dibuai hedonism mainan jiwa, isikan diri kalian dengan sisipan akar teguh kerohanian. Jagalah hati kalian daripada godaan dunia dan syaitan. Jangan jatuhkan hati kalian ke lembah maksiat dan penghinaan, kerana ia merupakan punca kepada keruntuhan darjat manusia di sisi Tuhan. Kembalilah kepada-Nya semula andai telah tersilap langkah. Jadikanlah PERMANIS UM ini sebagai wadah untuk berubah. Kalian mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang. Rancanglah bersama ahli keluarga PERMANIS UM yang lain untuk mengadakan program yang mendidik jiwa yang menuju ke arah keredhaan Allah SWT.

Akhir kalam buat semua ahli keluarga PERMANIS UM,

Saya memohon maaf sekiranya di sepanjang perkhidmatan saya sebagai Yang DiPertua PERMANIS UM sesi 2009/2010 ini ada melakukan kesilapan, terlanjur kata dan terkasar bahasa. Sebagai seorang hamba yang lemah, saya bukanlah seorang yang maksum daripada melakukan kesilapan. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua ahli keluarga PERMANIS UM di atas pembatalan program-program yang telah dirancang dan dimaklumkan pada awalnya, tetapi tidak dapat dilaksanakan di atas sebab-sebab tertentu. Janganlah kalian menyalahkan ahli jawatankuasa ad-hoc yang telah dilantik untuk menggerakkan program-program tersebut kerana mereka sendiri telah berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya tetapi seperti yang telah saya sebut sebelum ini, kehendak Allah itulah yang hakiki.


Buat ahli majlis tertinggi, exco-exco, pengarah dan ahli jawatankuasa yang telah memberikan perkhidmatan kalian kepada PERMANIS UM sepanjang sesi 2009/2010 ini, terima kasih saya ucapkan di atas jasa dan pengorbanan kalian. Mudah-mudahan usaha yang ditaburkan sebelum ini mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Saya bagi pihak persatuan tidak mampu untuk membayar kerja-kerja kalian dengan material yang hanya bersifat keduniaan, biarlah Allah yang menilai usaha-usaha kalian dan memberi ganjaran yang tidak dapat dimiliki daripada manusia.


Untuk renungan kita bersama, saya ingin memetik wasiat daripada Saidina Ali yang bermaksud :


Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu', tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia, tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya, tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak iaitu memelihara diri dan hati- hati dari berbuat dosa, tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi. Maka, nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.


Akhir kalam dari saya, wabillahittaufiq wal hidayah, Assalamualaikum wbt.


Mohd Zaid Bin Mustafar

YDP Persatuan Mahasiswa N. Sembilan

Sesi 2009/2010

0 comments: