Dunia Digital Remaja


Tinta YDP: Mohd Sabri Jamaludin

http://quransaintifik.blogspot.com


SISTEM digital adalah sistem data yang berasaskan kepada penggunaan nilai-nilai diskrit lalu membentuk suatu barisan kod dan diterjemahkan ke suatu barisan maklumat. Kelebihan menggunakan sistem digital berbanding julat-julat angka analog ialah ia kurang kesilapan, lebih mudah dikendali dan dimanipulasikan serta lebih konsisten. Justeru, teknologi ini menjadi tulang belakang dalam bidang pengkomputeran, penggunaan alat-alat elektronik yang canggih dan berteknologi tinggi kerana ia lebih tepat dan berkesan.

Dalam teknologi maklumat pula, Internet, media maya adalah contoh aplikasi dan hasil daripada kecanggihan sistem digital.

Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Kita tidak boleh menolak arus teknologi sistem digital yang telah mewujudkan ruang yang seluas-luasnya kepada pengetahuan.

Namun dalam masa yang sama, adakah remaja bersedia dengan ledakan teknologi maklumat hari ini?

Bagaimanakah keupayaan mereka menyaring maklumat dan pengetahuan yang ada? Adakah manusia berupaya hidup dalam keadaan fitrah sekalipun dikelilingi oleh kecanggihan teknologi digital?

Cabaran hari ini bukan sahaja dalam menyediakan infrastruktur digital, tetapi juga menyediakan minda yang maju dan kompleks seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Limpahan maklumat yang didapati daripada media elektronik terutamanya, dilihat sebagai salah satu sumber menambah pegetahuan dan informasi.

Contohnya, pelajar kini menggunakan sebagai sumber rujukan maklumat, peniaga menggunakannya sebagai medan niaga, malah pendakwah juga menjadikannya medium yang berkesan untuk menyebarkan dakwah.

Sebut apa sahaja, hampir semuanya ada di alam maya. Inilah yang dikatakan sebagai maklumat di hujung jari, dengan matlamat mewujudkan manusia yang lebih berpegetahuan dan berilmu.

Namun kadangkala Internet juga dicemari dengan program, cerita, gambar dan perisian yang tidak bermanfaat untuk penggunanya terutama sekali untuk pengguna remaja.

Kisah-kisah yang mengaibkan, lucah, lagha (sia-sia) banyak sekali dalam Internet. Bayangkan kesannya pada remaja dan anak-anak muda di hari depan sekiranya bahan-bahan ini disajikan tanpa batasan dan kawalan.

Seperti juga mencari rakan, jika baik maklumat yang dicari, maka dapatlah mencedok ilmu yang berguna untuknya. Jika sebaliknya, maka manusia akan lari daripada landasan fitrah iaitu berpegang kepada kebaikan dan nilai-nilai murni terutama sekali jika remaja tidak mempunyai keupayaan menyaring.

Keupayaan menyaring maklumat dan pengetahuan adalah amat penting bagi remaja. Sesuatu maklumat yang datang harus diteliti dan diperhalusi.

Memang menjadi tradisi kepada ilmuan Islam terdahulu untuk sentiasa mengkaji dan meneliti ilmu dan maklumat yang diperolehi.

Sesuatu berita atau gosip murahan juga berpotensi menjadi fitnah sekiranya datang daripada sumber yang tidak diketahui dan tidak jelas.

Dorongan ingin tahu selalunya diikuti dengan pencarian maklumat, kemudian mendapatkan maklumat berbanding serta melakukan analisis.

Ditambah dengan data dan fakta yang diperolehi, barulah sesuatu maklumat dapat disaring dan rumusan ke arah sesuatu perkara menjadi lebih baik.

Ini sangat penting untuk remaja kerana ia memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, kreatif dan kritikal. Ini mengelakkan remaja daripada menjadi keliru dengan kepelbagaian maklumat yang ada.

Ramai remaja pada hari ini tidak suka berfikir dan mengkaji. Sesuatu yang datang itu dilihat secara datang dan pergi tanpa kecenderungan berfikir.

Sekiranya remaja tidak mempunyai asas berfikir dan keupayaan menyaring, unsur-unsur maklumat yang bercorak hiburan dan hedonistik akan lebih digemari.

Sesuatu yang bersifat intelektual dilihat terlalu berat untuk remaja, menyebabakan remaja mengambil mudah hal-hal yang penting dan mengutamakan hal yang remeh temeh.

Kekurangan ilmu menyaring juga menjadikan remaja lebih mengutamakan emosi daripada akal dalam mengendalikan sesuatu isu.

Jika corak pemikiran ini berlaku, ia menyebabkan generasi masa depan bakal berhadapan dengan masalah besar, iaitu menjadi pengguna setia kepada anasir buruk dan berhadapan dengan pelbagai kerosakan minda dan sosial.

Remaja dan generasi kini berhadapan dengan cabaran yang pelbagai. Kemudahan digital masa kini tidak dinafikan akan terus memberi manfaat kepada manusia, tetapi dalam masa yang sama juga mampu memberi cabaran kepada minda, pola pemikiran serta pembinaan peribadi seseorang.

Kemudahan digital ini jika dimanfaatkan ke jalan yang betul, bakal menjadikan manusia lebih berilmu, berpegetahuan luas dan kreatif.

Justeru, remaja juga harus dilengkapkan dengan kemahiran menyaring maklumat, memilih persekitaran maklumat yang sihat dan memahami bahawa teknologi bukanlah segala-galanya dalam hidup.

0 comments: