Lagu Rasmi N Sembilan (Gubahan semula)



SEREMBAN, 26 Okt – Pelancaran Lagu Kebesaran Negeri Sembilan (yang digubah semula) merakamkan satu lagi detik yang amat bersejarah dalam negeri ini selepas daripada Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus ke 11 pada tahun lepas.


Penggubahan semula lagu kebesaran N.Sembilan melambangkan kemegahan tampuk pemerintahan negeri di bawah jajahan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Al-Marhum Tuanku Munawir bilamana penggubahan yang masih mengekalkan keaslian melodinya dengan perubahan pada lirik yang membawa ke arah transformasi seiring dengan perubahan zaman yang serba maju ini.


Majlis Pelancaran Lagu Kebesaran N.Sembilan versi baru itu telahpun disempurnakan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan di Royale Bintang, dekat sini. Turut hadir mencemar duli DYMM Tunku Ampuan Besar N.Sembilan, YTM Tunku Besar Tampin, YTM Dato’-Dato’ Undang Yang Empat, YM Tok Puan-Tok Puan serta YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar N.Sembilan dan isteri.


Secara jelasnya dan menjadi satu keunikan bilamana gubahan baru lagu kebesaran ini telah dihasilkan oleh anakanda Tuanku sendiri iaitu Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz. Amnya, Lagu Kebesaran Negeri Sembilan “Berkatlah Yang di-Pertuan Besar” telah dicipta oleh Sir Andrew Caldecott, seorang Pegawai British yang bertugas sebagai Pegawai Daerah Jelebu pada ketika itu. Manakala liriknya pula telah ditulis oleh Tunku Zakaria Mambang. Ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Mohammad pada tahun 1911. Kemudian, bermulalah evolusi dan perubahan demi perubahan telah berlaku terhadap lagu ini.



Atas inisiatif itu, maka lagu kebesaran tersebut kini digubah bagi menampilkan pembaharuan sejajar dengan peralihan zaman serba teknologi ini. Hasil idea Tunku Zain dengan di bantu oleh Dato’ Johari Salleh, maka penggubahan lirik dan lagu tersebut dilakukan pada tahun 2009. Menurut Dato’ Johari, apa yang dilakukan oleh Tunku Zain adalah satu ketepatan pada waktunya selaras dengan peredaran zaman yang memerlukan sesuatu kelainan termasuklah pada lagu kebesaran yang seringkali digunakan pada majlis-majlis rasmi ke bawah duli Tuanku.


“Tunku Zain telah membuat perubahan baru pada lagu tersebut tepat pada masanya dan ianya merupakan satu kebanggaan buat seluruh rakyat N.Sembilan,” jelasnya.


Sementara itu, Menteri Besar N.Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berkata, lagu kebesaran N.Sembilan ini merupakan lagu kebanggaan rakyat negeri ini dan amat berterima kasih kepada Tunku Zain kerana menghasilkan ilham dan kelainan buat N.Sembilan yang seharusnya dibanggakan.


Menyedari akan terdapat pelbagai versi dan berlakunya perubahan dari segi tempo, melodi dan nyanyian ada yang perlahan dan ada yang agak laju, sewajarnya lagu kebesaran Negeri digubah semula. Justeru, atas inisiatif Yang Mulia Tunku Zain, sebuah projek bagi menyusun kembali dan menyeragamkan Lagu Kebesaran ini telah dilaksanakan. Dengan mengekalkan melodi asal dan lirik yang sedikit diubah, ia bakal menjadi sebuah gubahan lagu yang merdu dan sedap didengar.Ditambah pula dengan iringan suari harmoni dan instrument muzik yang lebih klasik.


“Hari ini, objektif dan matlamat kita telah pun tercapai. Kita telah pun membuat rakaman dengan menggunakan pelbagai peralatan muzik. Versi baru ini akan dirasmikan dan penggunaannya bakal diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri, samada di sekolah-sekolah, istana, jabatan-jabatan kerajaan mahupun di majlis-majlis rasmi kerajaan,” jelas beliau.


Umum mengetahui, bahawa lagu kebesaran dan lagu kebangsaan adalah merupakan sesuatu yang amat penting. Setiap negeri yang berdaulat, memerlukan lagu kebesaran yang mempunyai gubahan muzik dan senikata yang mampu memupuk semangat setia kepada Raja, Negara dan Negeri.


YAB Menteri Besar juga turut menekan nilai-nilai kesetiaan kepada Raja yang selama ini menjadi payung negeri perlulah dihayati dan dipelihara oleh kita semua. Sebarang bentuk anasir yang boleh memecah-belahkan rakyat dan menghakis kesetiaan kepada Raja dan Negara perlulah dipandang serius oleh kita semua.


“Diharapkankan agar semangat seluruh rakyat Negeri Sembilan akan terus bersatu bersama-sama ke bawah naungan Duli Tuanku, sebagaimana wujudnya keharmonian di dalam irama dan lagu kebesaran Negeri Sembilan ini,” tegasnya.


“Saya menyeru agar seluruh rakyat dapat menjiwai lagu ini disamping dapat memupuk dan menambah lagi semangat cintakan negeri ini di bawah payung pemerintahan ke bawah Duli Tuanku,” tambahnya lagi mengakhiri ucapan beliau.


mizie@n9kini.com/foto: ismail

0 comments: